Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Azizul Azmi Adnan membuat keputusan itu selepas membenarkan saman Mohamad Salleh dan NFCorp terhadap Mohd Rafizi, yang merupakan defendan pertama.
Azizul memerintahkan Mohd Rafizi membayar ganti rugi RM150,000 kepada Mohamad Salleh dan RM50,000 kepada syarikatnya.
Mahkamah turut memerintahkan Mohd Rafizi membayar kos sebanyak RM100,000 kepada plaintif (Mohamad Salleh dan NFCorp).
Bagaimanapun, mahkamah menolak saman Mohamad Salleh dan NFCorp terhadap Malaysiakini, yang dinamakan sebagai defendan kedua, dan memerintahkan plaintif membayar kos sebanyak RM50,000 kepada portal berita berkenaan.
Dalam penghakimannya, Azizul berkata kenyataan yang dibuat Mohd Rafizi adalah fitnah dan beliau mendakwa dana awam telah diselewengkan.
“‘Seleweng’, pada pandangan saya, suatu tuduhan yang serius berbanding ‘salah guna’, dan perkataan ‘salah guna’ mungkin timbul daripada kecuaian semata-mata atau kurang berhati-hati, manakala ‘seleweng’, seperti dinyatakan sebelum ini, membayangkan unsur ketidakjujuran,” katanya, sambil menambah Mohd Rafizi tidak mengesahkan ketepatan atau sama ada maklumat yang terkandung dalam dokumen itu lengkap.
“Walaupun perkataan ‘dijadikan jaminan’ boleh dibaca untuk membawa maksud ‘digunakan sebagai pengaruh’ dan bukannya ‘jaminan’, pada pandangan saya, penggunaan perkataan ‘diselewengkan’ memberi gambaran dana awam diletak dalam risiko atas alasan bahawa dana itu digunakan sebagai pengaruh untuk mendapatkan pinjaman peribadi,” katanya.
Azizul juga berkata tiada sebarang bukti dana awam digunakan sebagai cagaran atau jaminan atau sebaliknya diletak dalam risiko, walaupun hujah Mohd Rafizi diterima bahawa dia hanya bermaksud dana itu yang diagihkan kepada NFCorp telah digunakan sebagai pengaruh.
“Saya mendapati kenyataan dikeluarkan Mohd Rafizi juga berbaur fitnah terhadap plaintif kedua (NFCorp), kerana ia memberi gambaran plaintif kedua menyalahgunakan hasil pendapatan daripada pinjaman kerajaan dengan membenarkan pengarah-pengarahnya meningkatkan pembiayaan dengan memanfaatkan deposit,” kata hakim itu.
Beliau seterusnya berkata dalam kes berkenaan, bentuk tuduhan terhadap plaintif adalah serius dan ini tidak dipertikaikan dengan bersungguh-sungguh, dan mencadangkan tindakan yang berkemungkinan mempunyai akibat yang boleh dihukum.
Bagi defendan kedua, Azizul berkata mahkamah mendapati kesan laporan oleh Malaysiakini, apabila dilihat secara keseluruhan dan dinilai secara objektif, adalah untuk melaporkan fakta bahawa kenyataan yang dibuat pada sidang media yang diadakan oleh Mohd Rafizi, bukan bagi tujuan meyakinkan pembaca atau orang ramai terhadap kandungannya.
“Saya berpendapat klip video itu adalah rakaman sebenar majlis yang diadakan, menyokong dapatan bahawa teras laporan itu adalah untuk menunjukkan bahawa kenyataan-kenyataan itu dibuat oleh Mohd Rafizi.
“Saya juga berpendapat laporan itu dibuat secara adil, tidak berkepentingan dan berkecuali,” kata Azizul sebelum menolak tuntutan plaintif terhadap Mkini Dotcom, yang merupakan pemilik portal berita Malaysiakini.
Sementara itu, Mohamad Salleh dalam kenyataan kepada media berkata kebenaran akhirnya terbukti.
“Sejak akhir 2011, kerajaan Malaysia, NFCorp, pengarahnya dan isteri saya telah berdepan kecaman yang tidak munasabah oleh pembangkang dan pihak yang mengambil kesempatan ke atas kami. Hari ini, semuanya telah jelas,” katanya. – Bernama