Proton bukan syarikat gagal, kata menteri

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed melalui jawapan bertulis di Parlimen pada Khamis memaklumkan bahawa sejak penubuhannya pada tahun 1958, Proton telah banyak menyumbang kepada negara dan memberi manfaat besar kepada industri serta seluruh rantaian ekosistem.

“Adalah tidak benar untuk mengatakan Proton adalah syarikat gagal memandangkan ia telah menyumbang sebanyak RM24 bilion dalam bentuk kutipan cukai sejak penubuhannya.

“Selain itu, kewujudan Proton juga turut menggalakkan lebih 500 usahawan tempatan untuk terlibat sebagai syarikat pengeluar komponen dan alat ganti, pengedar, pusat jualan serta pengusaha bengkel,” katanya bagi menjawab soalan daripada Ahli Parlimen Rasah, Teo Kok Seong.

Kok Seong bertanyakan mengenai jumlah bantuan kewangan diberikan kepada Proton sejak ia ditubuhkan dan sebab kenapa syarikat berkenaan gagal walaupun telah menerima banyak bantuan daripada kerajaan.

Dalam pada itu, Mustapa memaklumkan bahawa kerajaan telah memberikan pelbagai bantuan kepada Proton untuk memastikan syarikat berkenaan kekal berdaya saing dalam mengharungi cabaran industri yang amat kompetitif ini.

Tambah beliau, kerajaan akan terus komited untuk memastikan perkembangan dan pembangunan berterusan industri automotif tempatan yang turut melibatkan transformasi proton dan ekosistemnya

Related Articles