Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara itu mendakwa, tajaan kepada jemaah haji yang dibuat oleh Yayasan 1MDB itu tidak lain hanyalah untuk menjadi topeng, sedangkan hakikatnya 1MDB mengalami kerugian berbilion ringgit ekoran amalan penggubahan wang haram antarabangsa, termasuk Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
“Najib harus berhenti mengaburi mata rakyat dengan program kebajikan sosial 1MDB yang mana realitinya ditanggung oleh pembayar cukai,” kata Tony, dalam satu kenyataan, pada Rabu.
Najib sebelum ini mengumumkan Yayasan 1MDB menaja 1,100 jemaah haji sebanyak RM10.4 juta untuk menunaikan ibadah haji tahun ini.
“Sekiranya 1MDB benar-benar mencatat keuntungan dan menyerahkan sebahagiannya untuk tujuan kebajikan, tindakan itu amat dialu-alukan.
“Namun, 1MDB yang dibiayai sepenuhnya dengan hutang berjumlah RM55 bilion, tidak pernah mencatat keuntungan walau sesen pun daripada enam tahun kewujudannya,” kata Tony.
Beliau berkata, ini bermakna, sumbangan besar 1MDB kepada program kebajikan sosial adalah melalui pinjaman bagi amalan perhubungan awam untuk memperbaiki reputasinya yang rosak disebabkan kerugian besar.
Sehubungan itu, beliau berkata, Najib perlu segera menghentikan amalan tersebut kerana ianya akan menemui kegagalan susulan penyelewengan yang berlaku.