Itu dijelaskan Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar kepada media ketika diminta mengulas berhubung isu PRN Pulau Pinang.
Malah beliau menambah, sekiranya berlaku PRN tersebut, ianya hanya akan memberi kelebihan kepada UMNO untuk memenangi pertandingan merebut kerusi itu.
“Sebenarnya sekarang, kami semua berdepan risiko itu. Dengan kemungkinan berlakunya pertandingan tiga penjuru, secara teorinya, tiada siapa yang akan menang kecuali Umno,” katanya kepada pemberita di sini Khamis.
Ditanya mengapa PKR enggan bersetuju dengan sekutunya, DAP dan Amanah untuk mengadakan pilihan raya negeri, Nurul Izzah mengulangi pendirian parti bahawa kebimbangan yang dibangkitkan oleh masyarakat madani perlu diambil kira.
Malah, Izzah yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai itu juga sempat menyindir Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP, Tony Pua yang kononnya kecewa dengan PKR.
“Tumpuan kami sekarang adalah untuk memastikan bahawa perbincangan dalaman berlaku pada tahap maksimum dan perbincangan awam dikurangkan ke tahap minimum,” katanya yang jelas merujuk kepada posting Facebook Tony Pua sebelum ini.
Sebelum ini, Tony Pua melahirkan kekecewaannya terhadap pendirian PKR yang enggan bersetuju dengan cadangan mengadakan pilihan raya mengejut di Pulau Pinang.
Statusnya itu turut mengundang reaksi kurang senang dari Ketua Biro Undang-undang PKR, Latheefa Koya yang mempertikaikan keputusan sebelah pihak DAP dalam mengumumkan perancangan mengadakan PRN. –mStar