KUALA LUMPUR: Presiden Emiriah Arab Bersatu (UAE) Sheikh Mohamed bin Zayed Al Nahyan menzahirkan ucapan tahniah kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim yang melafaz sumpah memegang jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 pada Rabu, lapor Agensi Berita Emirates (WAM).
Naib Presiden dan Perdana Menteri UAE yang juga Pemerintah Dubai Sheikh Mohammed bin Rashid Al Maktoum serta Naib Presiden, Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Mahkamah Presiden Sheikh Mansour bin Zayed Al Nahyan turut menzahirkan ucapan tahniah.
Sultan Ibrahim melafaz sumpah jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 dalam upacara penuh adat istiadat di Istana Negara di Kuala Lumpur.
Seri Paduka Baginda menggantikan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang tamat tempoh pemerintahan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16, Selasa lalu, selepas memegang tampuk pemerintahan negara sejak 31 Jan 2019.
Pada istiadat yang sama, Sultan Perak Sultan Nazrin Shah turut melafaz sumpah memegang jawatan sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong.
Sultan Ibrahim dan Sultan Nazrin Shah dipilih oleh Raja-Raja Melayu pada Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-263 (Khas) di Istana Negara, pada Oktober lepas bagi tempoh lima tahun bermula pada Rabu. – Bernama-WAM