Presiden ISMA didenda RM2,000 terbit artikel berbaur hasutan

Keputusan itu dibuat Hakim Noridah Adam selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pihak pendakwaan.

Mahkamah turut memerintahkan Abdullah Zaik, 50, menjalani hukuman penjara dua bulan jika gagal membayar denda tersebut.

Bagaimanapun tertuduh membayar denda itu.

Abdullah Zaik sebelum ini didakwa atas pertuduhan pilihan iaitu menerbitkan artikel berbaur hasutan yang bertajuk ‘Kedatangan pendatang Cina bersama penjajah British satu bentuk pencerobohan’ melalui laman web www.ismaweb.net.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di No 25-1-1, Jalan Medan Pusat Bandar 1A, Bandar Baru Bangi pada pukul 10 pagi, 6 Mei 2014.

Pendakwaan mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Hasutan 1948 itu memperuntukkan denda maksimum RM5,000 atau penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Izwan Ariff Ibrahim manakala tertuduh diwakili peguam bela Salim Bashir.

 

Related Articles