Setiausaha agung UPP George Lo Kuin Fah berkata Wong, Ranum Mina, Datuk Dr Jerip Susil, Dr Johnical Rayong, Datuk Tiong Thai King dan Datuk Hii King Chiong meninggalkan parti itu sebaik sahaja mereka dinamakan sebagai calon langsung BN.
Ketua Menteri dan pengerusi BN Sarawak Tan Sri Adenan Satem telah menamakan mereka sebagai calon langsung BN.
Lo berkata kesemua mereka mengemukakan peletakan jawatan berkuat kuasa serta merta, sejajar dengan syarat undang-undang dan teknikal yang terkandung dalam perlembagaan BN.
“Kami dimaklumkan bahawa untuk menjadi calon langsung BN, mereka tidak boleh menganggotai sebarang parti. Ini bukan soal pilihan, tetapi bagi mematuhi perlembagaan BN,” katanya kepada pemberita di Wisma Bapa Malaysia di Kuching.
Lo berkata pemimpin lain akan mengendalikan kepimpinan parti secara bersama.
Peletakan jawatan itu tidak bererti mereka tidak setia, katanya, dan menambah: “Dalam hati dan semangat mereka, mereka tetap bersama kami. Kami akan jelaskan perkara ini kepada semua anggota dan cawangan kami di seluruh negeri bagi mendapatkan sokongan penuh mereka terhadap calon.”
Beliau juga berkata UPP tidak akan dibubar dan akan memohon menyertai BN selepas pilihan raya kelak, tetapi berdasarkan prestasi keenam-enam mereka yang berkenaan.
Wong memberitahu pemberita bahawa UPP gembira dengan keputusan Adenan itu serta berharap lebih banyak pemimpin parti berkenaan akan dinamakan sebagai calon, sebelum hari penamaan calon.
“Kami sedia bekerjasama dengan parti komponen BN untuk memenangi pilihan raya dan berharap mereka juga akan menyokong kami sebagai balasannya,” kata beliau. – Bernama