PPR Lembah Subang 1: Noh Omar kecewa dengan kerajaan negeri Selangor

Menterinya, Tan Sri Noh Omar berkata sejak diserahkan tanggungjawab mengurus PPR itu pada 2008, kerajaan negeri telah menikmati kira-kira RM4.5 juta setahun bayaran sewa daripada kira-kira 3,000 penghuninya.

“Dalam masa sama walaupun ketika itu Barisan Nasional (BN) kalah di Selangor tetapi disebabkan tanggungjawab kami nak bantu penduduk di situ, kami juga belanja RM22 juta pada 2002 untuk menyelenggara PPR itu.

“Jadi saya minta supaya kalau ada apa juga perbincangan (mengenai bayaran RM50.2 juta) kita letak ke tepi dululah. Benarkan kita (KPKT) masuk dulu…kita utamakan perkhidmatan kepada rakyat,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Festival Sains Teknologi dan Inovasi Kebangsaan (Festasi 2016) anjuran Fakulti Sains Gunaan, Universiti Teknologi Mara (UiTM) di Tanjong Karang pada Isnin.

Noh dalam pada itu berkata pihaknya telah meminta kerajaan negeri mengemukakan perincian perbelanjaan penyelenggaraan yang telah dikeluarkan sepanjang menguruskan PPR itu.

Mengenai kekangan yang kemungkinan dihadapi KPKT dalam rancangannya untuk membina 1,000 PPR di Selangor, Noh berkata pihaknya mempunyai strategi sendiri untuk menghadapi keadaan itu.

“Kami lihat bagaimana negeri akan beri kerjasama, kalau susah nak dapat (kerjasama) kami ada strategi untuk membela nasib rakyat Selangor dalam memberi peluang kepada mereka memperoleh kemudahan PPR,” katanya. –Bernama

Related Articles