PPBM akan jadi sejarah jika gagal dapat undi Melayu

by SM Amin

 

Mengapa PPBM tidak terus menyertai PH pula, mungkin ia adalah isu masa dan bagaimana hasil kerjasama PRU ini juga akan menjadi penentu kepada penyertaan PPBM dalam PH kelak.

Sejak pembubaran PR, PAS membawa diri, penubuhan AMANAH sehinggalah kepada kelahiran PH, parti pembangkang berdepan dengan tekanan hebat sepanjang tempoh tersebut. Kemudian dengan ketiadaan Anwar Ibrahim, ketiga-tiga parti pembangkang sukar untuk mencetuskan momentum semula.

Selepas penubuhan PPBM, tidak syak lagi ia ibarat perangsang kepada PH. Walaupun identiti dua orang pengasas PPBM sedikit sebanyak menimbulkan keraguan dalam kalangan ahli politik pembangkang, namun dalam situasi kritikal ini, kepentingan politik lebih utama daripada dendam dan musuh akhirnya boleh menjadi kawan. Pakatan pembangkang sudah tidak mempunyai banyak pilihan, lebih baik mempunyai rakan daripada musuh yang kuat.

Oleh kerana undi Cina pada asasnya adalah stabil, bagaimana untuk menarik lebih banyak undi Melayu akan menjadi masalah terbesar yang perlu dihadapi oleh PH. Penubuhan PPBM berikutan daripada perpecahan dalaman UMNO membuatkan PH menyambut baik kemunculan parti baharu itu bagi membantu memecahkan undi asas UMNO.

Sementara itu, sejauh mana PPBM mampu melemahkan undi Melayu UMNO, ia masih lagi memerlukan masa untuk melihat keberkesanannya. PPBM perlu membuktikan kesabaran parti itu dalam PRU akan datang, mereka juga perlu buktikan bahawa tanpa UMNO, mereka masih juga mampu bertahan. Jika tidak, realiti politik adalah sangat kejam dan sekejap sahaja mereka akan menjadi sejarah.

Selepas adanya sokongan daripada PPBM, kebimbangan utama PH sebenarnya belum lagi hilang kerana pakatan itu bukan sahaja perlu berdepan dengan PAS yang mengkhianati, malah juga perlu menghadapi tekanan besar daripada BN.

Hubungan antara PAS, DAP dan AMANAH juga akan menyukarkan hasrat PPBM dan PKR untuk menggabungkan kesemua parti pembangkang dalam satu pakatan besar. Oleh yang demikian, PH perlu mengurangkan ancaman PAS dan akan menjadi perkara yang menggembirakan jika PAS tidak campur tangan dan menjadi “spoiler” dalam mana-mana kerusi semasa PRU kelak.

Bagaimanapun melihat kepada sikap PAS yang semakin menonjol untuk mendekati UMNO, sudah tentu parti itu tidak akan berkompromi dalam isu pengagihan kerusi, malah tidak keberatan untuk dianggap sebagai “spoiler” asalkan musuhnya mengalami kerugian, sudah tentu musuh yang disebut itu bukanlah UMNO. Sama ada pertandingan tiga penjuru atau berpenjuru, selagi ia boleh menjejaskan peluang kemenangan DAP dan AMANAH, PAS pasti akan campur tangan.

Hubungan segitiga PAS, DAP dan AMANAH yang penuh dengan dendam, manakala satu sudut lagi adalah hubungan ‘cinta tiga segi’ yang sukar diputuskan antara PAS, UMNO dan PPBM. Mampukah kerjasama PH dan PPBM 3 +1 menggugat serangan BN + PAS? Permainan politik PRU14 baharu sahaja mulakan pementasannya. – Sin Chew Jit Poh

Related Articles