Positif bina ‘Abad Asia’

by SM Amin

Langkah tersebut merupakan kesepakatan pertahanan dan strategi perang antara Malaysia-China dalam meningkatkan hubungan baharu antara dua negara dan sekali gus membina “Abad Asia” yang lebih positif.

Hubungan bidang ketenteraan antara Malaysia dan China terus dipertingkatkan sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Selepas mengadakan latihan tentera bersama Malaysia-China kali pertama di Selat Melaka tahun lalu, Najib telah menandatangani memorandum kerjasama pertahanan bagi mengekalkan kestabilan di Laut China Selatan.

Kebangkitan ekonomi China meletakkan negara tersebut sebagai sebuah kuasa besar di Asia. Kedudukan tersebut telah mengekang kedudukan Jepun, Korea, India dan lain-lain negara di rantau ini. Namun negara-negara Asia terutama ASEAN akan mendapat banyak faedah jika mengadakan hubungan dagangan dengan China.

Kita yakin perubahan dasar Malaysia dapat membantu China menembusi pasaran ASEAN dan sekali gus mendorong kegemilangan Abad Asia. Tetapi, dalam usaha merealisasikan perkara tersebut, bukan sahaja Malaysia bahkan negara-negara Asia yang lain perlu memperkukuhkan dasar ekonomi masing-masing.

Dalam bidang keselamatan Asia, Presiden Filipina, Rodrigo Duterte pernah ke China sebelum ini menyatakan negaranya telah memutuskan hubungan dengan Amerika, manakala Najib pula berusaha meningkatkan hubungan dua hala dalam bidang ekonomi dan pertahanan dengan negara China. Langkah Filipina dan Malaysia tersebut menimbulkan kebimbangan pihak Barat terhadap kemungkinan negara-negara Asia yang lain akan mengambil langkah meninggalkan Amerika.

Sebenarnya, kebanyakan negara Asia tidak mahu berkiblat kepada China atau Amerika, sebaliknya mereka berharap kedua-dua negara besar tersebut menjadi pengimbang dalam bidang ekonomi dan keselamatan di rantau ini. Sementara itu, langkah Malaysia mengajak China meningkatkan hubungan ekonomi dan pertahanan adalah bertujuan menjamin kestabilan di Laut China Selatan.

Walaupun penubuhan Abad Asia adalah untuk jangka masa panjang, namun sebelum ianya terlaksana, cabaran yang dihadapi sekarang perlu diselesaikan terlebih dahulu terutama sekali masalah sistem import cara lama, pendapatan negara yang tidak seimbang dan lain-lain.

Bagi Malaysia, kerajaan perlu melakukan perubahan dalam pentadbiran, menambah pendapatan rakyat, meningkatkan tahap pendidikan, merapatkan jurang Malaysia dengan China, Jepun dan Korea barulah peranan penubuhan Abad Asia dianggap berkesan. – Sin Chew Jit Poh

Related Articles