Katanya, ini kerana sikap demikian sudah merebak bermula daripada pemimpin UMNO hingga ke peringkat bawahan.
“Penggunaan politik wang bermula dalam pemilihan Majlis Tertinggi UMNO. Kemudian, ia turun ke bawah hingga ke pemilihan peringkat Bahagian, malahan di peringkat Cawangan.
“Apabila ramai pimpinan UMNO memperagakan gaya hidup mewah, ia mempengaruhi hingga ke peringkat bawah termasuk dalam kalangan Pemuda. Ia telah menjadi budaya dan norma yang diterima sebagai kebiasaan, bukannya kesalahan dalam UMNO,” katanya memetik laporan Sinar Harian.
Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah (Ku Li) kelmarin bahawa ramai pemimpin sekarang lebih mementingkan wang dan kuasa.
Saifuddin yang kini Ketua Sekretariat Pakatan Harapan berkata, apa yang dinyatakan oleh Tengku Razaleigh sememangnya berlaku dalam UMNO.
“Politik wang berlaku dalam pelbagai bentuk, contohnya, pemberian kontrak kerajaan kepada ahli dan pimpinan Umno, penggunaan sumber kerajaan dalam menggaji aktivis-aktivis UMNO dan semasa kempen pilihan raya. Paling teruk ialah membeli undi, sama ada semasa pemilihan parti dan juga semasa kempen pilihan raya.
“Sebab itu, ramai ahli Umno menggunakan wang untuk mendapatkan jawatan, atau mendapatkan jawatan untuk mengejar wang. Dulu, Umno berjuang tetapi kini Umno berwang,” dakwanya.
Katanya, lebih malang apabila kebanyakan pimpinan utama Umno tidak serius untuk membanteras gejala ini.
“Malah, pimpinan tertinggi Umno juga tidak anggap ia satu kesalahan. Jika terima derma dalam akaun peribadi sebagai satu kesalahan, sudah tentu beliau telah letak jawatan,” katanya.