Polis temui bahan letupan tertanam di bawah pokok manggis

Pemangku Ketua Polis Perak, Datuk Hasnan Hassan berkata, bahan letupan itu ditemui tertanam di bawah pokok manggis di belakang sebuah rumah pada 18 Disember lalu.

Beliau berkata, barang-barang yang dirampas termasuk 15 batang Emulex, enam peledak elektrik, bekas yang penuh dengan cecair hitam, kotak baja tonik, setengah karung baja klorida rendah dan tiga tong yang mengandungi bahan berwarna putih yang tidak dikenal pasti.

Emulex merupakan bahan letupan emulsi berasaskan air yang biasanya digunakan dalam perlombongan, kuari, pembinaan jalan dan kereta api dan terowong.

“Kita masih menyiasat motif bahan letupan itu dan kami tidak menolak penggunaannya adalah untuk keganasan atau untuk melindungi sindiket dadah dan jenayah lain,” katanya dalam satu kenyataan.

Hasnan berkata, polis turut menahan seorang wanita berusia 38 tahun untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan.

“Kita percaya bahan letupan itu dimiliki suaminya berusia 41 tahun, yang ketika ini dipenjara kerana kesalahan berkaitan dadah. Wanita itu telah dibebaskan selepas direman selama tujuh hari,” katanya. –mStar

Related Articles