Polis Tahan Warga Emas Buat Ugutan Bunuh Terhadap Dr Akmal

KUALA LUMPUR: Warga emas yang juga pemilik bengkel ditahan selepas disyaki membuat ugutan bunuh terhadap Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh, hari ini.

Ketua Polis Melaka Tengah Christopher Patit, berkata suspek berusia 68 tahun dicekup di kawasan Kandang, Melaka, susulan satu laporan dibuat seorang pesara kerajaan berhubung ugutan berkenaan.

Katanya, pengadu berusia 62 tahun memaklumkan ketika berada dalam bengkel di Bukit Duyong pada Rabu lalu, individu tersebut telah melahirkan ketidakpuasaan hati terhadap Akmal yang juga Adun Merlimau kerana tindakan wakil rakyat itu dalam isu KK Mart.

“Pengadu hanya berdiam diri dan tidak melayan lelaki tersebut sebelum membuat laporan polis kerana tidak berpuas hati dengan kata-kata ugutan suspek dan bimbang keselamatan Adun itu,” katanya lapor Sinar Harian.

Beliau berkata, hasil soal siasat awal, individu tersebut mengakui memberitahu kepada pengadu ketidakpuasan hati terhadap kenyataan dikeluarkan Akmal mengenai KK Mart.

“Bagaimanapun suspek yang mempunyai masalah kesihatan telah dibebaskan dengan jaminan polis dan siasatan masih dijalankan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan,” katanya.

Related Articles