Polis Tahan Lelaki Warga Israel Bersama Enam Senjata Api, 200 Butir Peluru

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki warga Israel berusia 36 tahun ditahan di sebuah hotel di Jalan Ampang dengan polis merampas enam senjata api bersama 200 butir peluru.

Ketua Polis Negara Razarudin Husain, berkata suspek itu mendakwa menyasarkan seorang lagi rakyat Israel atas alasan pertelingkahan keluarga.

Bagaimanapun, polis masih menjalankan siasatan lanjut.Susulan penahanan itu, polis meningkatkan keselamatan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim, Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan orang kenamaan lain, di tengah-tengah sokongan tidak berbelah bahagi negara ke atas Palestin terhadap serangan berterusan Israel di Gaza.

“Kebimbangan kita berdasarkan isu Palestin-Israel, kita juga waspada terutama keselamatan perdana menteri dan Yang di-Pertuan Agong dan pegawai-pegawai, orang kenamaan yang kita perlu ambil kira,” katanya kepada media.

Razarudin juga tidak menolak kemungkinan suspek mempunyai “agenda lain”.Siasatan polis juga menumpukan kepada sama ada suspek benar-benar ejen Israel kerana dia dipercayai tidak beroperasi bersendirian.

Razarudin berkata suspek mendakwa membeli semua senjata api melibatkan pelbagai model termasuk Sig Sauer, Glock-27, dan Smith and Wesson, kesemua transaksi menggunakan mata wang kripto ketika di Malaysia.

Polis masih menyiasat pihak menjual senjata dan bagaimana ia diseludup ke Malaysia.

Razarudin berkata, siasatan mendapati lelaki itu masuk ke negara ini menggunakan pasport Perancis dan ketika disoal lanjut, dia menyerahkan pasport Israel.

“Kita dapati suspek mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 12 Mac dari Emiriah Arab Bersatu. Dia mendakwa sedang mencari seorang lelaki Israel, yang dikatakan untuk dibunuh kerana pertelingkahan keluarga,” katanya.

Razarudin berkata, lelaki Israel itu menginap di tiga hotel berasingan sebelum ditahan.

Lelaki berkenaan direman sehingga 31 Mac.

Related Articles