Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata pihaknya tidak mengamalkan sikap pilih kasih seperti yang didakwa sesetengah pihak.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan kononnya pihak polis tidak mengambil sebarang tindakan terhadap Ali Tinju seperti mana yang dilakukan polis terhadap ahli Parlimen Jelutong, Jeff Oii.
“Kita dah tangkap Ali Tinju itu. Dan kita dah bebaskan dia dengan jaminan. Sama dengan (MP Jelutong) Jeff Ooi.
“Tindakannya sama. Tak ada pilih kasih. Apabila kita memanggil Ali Tinju, dia cepat datang. Saya panggil dia pukul 8 pagi, 8.30 pagi dia dah datang,” katanya.
Jelasnya, polis mengambil tindakan yang serupa terhadap kedua-dua individu tersebut.
“Dia terus serah diri, tangkap dia, rakam percakapan dia dan bebaskan dia dengan jaminan selepas itu. Sama dengan Jeff Ooi dan lain-lain.
“Jangan cuba nak menuduh kita pilih kasih dan sebagainya. Kalau tak tahu, tanya dulu. Jangan buat tuduhan tak berasas,” tegasnya pada sidang media selepas merasmikan program “1Aman Week: Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada” di Putrajaya hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan pemberita berhubung dakwaan pihak yang mempertikaikan polis yang tidak menangkap Ali Tinju ekoran ‘ugutan’ terhadap Maria.