Polis siasat pesara tembak lelaki disangka monyet

Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Sum Chang Keong berkata kertas siasatan itu dibuka mengikut Seksyen 39 Akta Senjata Api 1960 dan akan disiapkan dalam tempoh terdekat sebelum diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya.

“Pesara berkenaan yang memiliki lesen senjata api telah menyerahkan senjata tersebut kepada polis.

“Polis juga telah mengambil keterangan daripada mangsa untuk membantu siasatan,” katanya kepada pemberita selepas perhimpunan Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh di Balai Polis Pasir Puteh, di Ipoh hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 1.40 tengah hari itu, seorang lelaki yang berusia 63 tahun cedera di lengan akibat terkena tembakan yang dilepaskan oleh pesara berkenaan.

Kejadian berlaku semasa pesara berumur 64 tahun itu berehat di luar rumah abang iparnya di Kampung Chepor Dalam di Ipoh sebelum melihat satu pergerakan di atas pokok rambutan yang terletak pada jarak kira-kira 50 meter.

Lelaki tersebut yang menyangka objek di atas pokok itu adalah monyet kemudian melepaskan satu tembakan sebelum terdengar suara orang mengerang kesakitan.

Pesara berkenaan kemudian membawa mangsa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, di Ipoh untuk rawatan lanjut dan mangsa kini berada dalam keadaan stabil. – Bernama

Related Articles