Menurut Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, pihak PDRM sentiasa memantau sebarang kegiatan yang mungkin melibatkan sama ada Daesh atau mana-mana juga kumpulan militan.
“Semua pegawai dan anggota polis telah diarahkan untuk bersedia.
“Di seluruh negara kita akan meningkatkan kesiapsiagaan dalam menghadapi sebarang ancaman, baik dari IS atau sesiapa sahaja yang mahu mengancam sambutan Hari Malaysia,” kata Khalid selepas sambutan Hari Raya Haji di Bukit Aman pada Selasa.
Sebelum ini, Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Abdullah dilaporkan berkata serangan IS pada Hari Malaysia adalah satu kemungkinan.
Polis sebelum ini juga menggagalkan kemungkinan serangan oleh tiga suspek militan pada malam sebelum Hari Merdeka.
Ketiga-tiga mereka didakwa merancang menyerang pusat-pusat hiburan, kuil Hindu di Batu Caves serta balai polis menggunakan bom atau senjata api.