Kes itu mendapat perhatian ramai apabila rakaman video yang tidak diketahui sumbernya menjadi tular di laman sosial berikutan memperlihatkan aksi beberapa lelaki membelasah mangsa yang terbaring di jalan raya tanpa belas kasihan selama beberapa minit.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Hamzah Alias berkata kejadian kira-kira2.15 petang itu tercetus dipercayai melibatkan mangsa berumur 25 tahun yang sedang memandu lori telah terlanggar sebuah kereta jenis Mercedes Benz yang dinaiki empat lelaki.
“Polis telah merakam percakapan beberapa saksi yang berada di tempat kejadian untuk siasatan lanjut,” katanya ketika dihubungi di sini, Khamis.
Katanya mangsa dilaporkan bertikam lidah dengan pemandu kereta berumur 38 tahun sebelum berlaku pergaduhan tanpa menggunakan senjata.
“Empat lelaki lain kemudian masuk campur pergaduhan itu. Kedua-dua pemandu hanya mengalami cedera ringan,” katanya.
Rakaman video mangsa dibelasah berdurasi dua minit 49 saat dengan aksi tumbukan dan tendangan keras terhadap pemandu lori itu mulai tular di laman sosial pada Khamis.
Hamzah berkata kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan merusuh yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun dan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. –Bernama