Polis perlu jelaskan penahanan Maria di bawah Sosma – Wanita MCA

Ketuanya, Datuk Heng Seai Kie mempersoalkan sama ada Sosma adalah undang-undang yang sesuai digunakan dalam kes ini.

“Apakah alasan untuk beliau ditahan di bawah Sosma?,” katanya pada sidang akhbar di sini Selasa.

“Secara peribadi, saya dan semua Wanita MCA tertanya-tanya (tentang perkara ini), jadi saya fikir polis perlu menjelaskannya kepada orang ramai,” katanya.

Walau bagaimanapun, Seai Kie berkata, pihak polis, yang berpegang teguh dengan undang-undang, semestinya mempunyai ‘alasan kukuh’ membuat tangkapan ke atas Maria menggunakan akta anti-keganasan ini.

“Apa yang perlu kita lihat adalah laporan siasatan dan maklumat yang telah dikumpulkan hasil soal siasat, kerana penahanannya hanya ditukar kepada Sosma selepas perhimpunan Bersih 5 pada Sabtu.

“Mesti ada sebabnya… tetapi mereka perlu menjelaskan mengapa,” tegas beliau.

Selain Sosma, Maria juga telah ditahan di bawah Seksyen 124C Kanun Keseksaan, melibatkan aktiviti-aktiviti dianggap memudaratkan demokrasi berparlimen.

Seai Kie bagaimanapun berkata beliau berharap Maria akan dibebaskan tidak lama lagi jika dibuktikan tidak bersalah.

Maria adalah antara pemimpin ditahan pada Jumaat menjelang perhimpunan Bersih 5 pada 19 November, memetik mStar Online.

Related Articles