Polis percaya suspek utama kes tikam masih di Terengganu

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, ACP Wan Abd Aziz Wan Hamzah berkata, pihaknya turut bekerjasama dengan polis di kawasan sempadan bagi memastikan suspek tidak dapat meloloskan diri ke negara jiran.

“Rakan suspek yang bertindak sebagai pemandu juga memaklumkan suspek pulang bersama ke rumahnya di Jalan Tanjung Bunut, Kampung Buluh Gading selepas kejadian tikam itu bagi mengambil motosikal yang ditinggalkan di rumah berkenaan.

“Kami meminta orang ramai yang berjumpa atau mengetahui di mana suspek berada untuk melaporkan ke balai polis berhampiran.

“Orang ramai juga diingatkan supaya tidak bertindak melindungi suspek bagi mengelakkan tindakan undang-undang kerana bersekongkol, menyembunyi atau melindungi suspek,” katanya kepada pemberita, di Kuala Terengganu pada Isnin.

Wan Abdul Aziz turut menasihatkan orang ramai supaya menghentikan perbuatan menyebarkan gambar pembunuhan mangsa di media sosial dan berita yang boleh mengganggu siasatan polis.

Kelmarin, rakan suspek serta bapa saudaranya ditahan kira-kira pukul 4.30 petang dan 4.45 petang oleh anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu dan Balai Polis Manir.

Kedua-dua mereka yang berusia 27 dan 55 tahun itu diberkas dalam dua serbuan bagi membantu siasatan kes pembunuhan Mohamad Shukri Husin, 34, yang maut selepas ditikam enam kali dalam kejadian pada pukul 11.30 pagi itu. – Bernama

Related Articles