Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, pihaknya akan menjalankan siasatan menyeluruh berkaitan insiden tersebut.
“Pada hemat saya, terdapat unsur penderaan. Mereka hanya murid sekolah, tidak wajar diberi latihan sebegitu kerana mereka bukan anggota tentera atau polis yang memerlukan latihan keras.
“Polis akan menjalankan siasatan menyeluruh dan meminta orang yang merakamkan video terbabit untuk tampil bagi membantu siasatan,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Perpustakaan Bestari Samsung di Pusat Latihan Polis (Pulapol) di ibu negara pada Khamis.
Terdahulu susulan kejadian berkenaan empat jurulatih dan enam pembantu APM Kuala Kangsar digantung tugas serta-merta daripada menjadi tenaga pengajar program membina jati diri sehingga siasatan viral rakaman video mereka menggunakan ular ketika program berkenaan membabitkan murid sekolah, selesai.
Langkah itu diambil oleh pengurusan tertinggi APM selepas rakaman video mengenai penggunaan ular semasa latihan kem jati diri di pejabat APM Kuala Kangsar menjadi viral di media sosial sejak Ahad.