Polis Pantau Pergerakan, Pengikut Mawla Mohamed Amin

by Anis

KUALA LUMPUR: Polis sedang memantau gerakan pengikut lelaki warga Maghribi dikenali Mawla Mohamed Amin al-Hassani yang kononnya terlibat membina perkampungan Kerajaan 9 di Melaka.

Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah berkata, Cawangan Khas (SB) juga sedang bekerjasama dengan Jabatan Agama Islam Melaja (JAIM) untuk mengesan individu terlibat dalam kumpulan itu.

“Kita sedang pantau aktiviti Kerajaan 9 ini yang hendak berpindah madrasahnya dari Selangor ke Melaka termasuklah jika ada penglibatan individu tertentu.

“Walaupun setakat ini tidak laporan polis diterima, kita melakukan siasatan rapi berdasarkan laporan diterima dan maklumat yang ada,” katanya ketika ditemui media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka di sini hari ini.

Sebelum ini, sebuah akhbar tempatan melaporkan seorang mudir sebuah madrasah di Selangor yang aktif mempromosi Mawla Amin mengutip dana awam secara tidak sah dan cuba mewujudkan satu perkampungan Kerajaan 9 di Melaka.

Usaha itu sebagai persiapan akhir zaman kepada pengikut Mawla Amin yang mengaku mempunyai jalur keturunan ke-38 daripada Nabi Muhammad SAW.

Persiapan itu termasuklah membeli sebidang tanah seluas 11 hektar di Melaka untuk membina perkampungan Kerajaan 9 yang dikatakan akan menjadi persiapan akhir zaman kepada pengikutnya.

Ditanya adakah polis turut memanggil bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melaka yang didakwa telah menjual 11 hektar tanahnya untuk mewujudkan perkampungan itu, Zainol berkata, ia masih dalam siasatan.

“Sekarang ini, kita sedang dalam tindakan untuk mengenal pasti tempat tersebut dan mengambil beberapa tindakan ke arah tersebut.

“Kerjasama ini akan turut melibatkan JAIM,” katanya ringkas. – MalaysiaGazette

Related Articles