Polis pantau kegiatan ‘Mawla Amin’

PUTRAJAYA: Polis akan bekerjasama dengan pihak berkuasa negeri bagi mengambil tindakan sesuai sekiranya kegiatan seorang lelaki dikenali dalam kalangan pengikutnya sebagai ‘Mawla Mohamed Amin al-Hassani’, didapati membawa ajaran bertentangan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata lelaki warga Algeria itu masuk ke negara ini menggunakan pasport Perancis.

“Kalau aktiviti dia bersifat keagamaan dan kalau ada elemen pelanggaran terhadap apa-apa juga undang-undang atau enakmen negeri, pihak polis akan kerjasama dengan pihak berkuasa negeri mengambil tindakan yang sesuai kalau berlaku percanggahan.

“Dia juga disahkan masuk ke negara ini menggunakan pas sosial,” katanya pada sidang media di Kementerian Dalam Negeri.

Terdahulu, polis dilaporkan sedang memantau kegiatan Mawla Amin yang mengaku bahawa mempunyai jalur keturunan ke-38 daripada Nabi Muhammad.

Ia susulan laporan sebuah media mengenai seorang mudir sebuah madrasah di Selangor yang turut aktif mempromosi Mawla Amin mengutip dana awam secara tidak sah selain cuba mewujudkan satu perkampungan kerajaan 9 di Melaka sebagai persiapan akhir zaman kepada pengikutnya.

Dalam perkembangan lain, Saifuddin memaklumkan beliau akan membentangkan perkara mengenai pindaan Perlembagaan Persekutuan yang berkaitan dengan soal kewarganegaraan kepada Jemaah Menteri pada 8 Mac ini.

“Saya akan membentangkannya kepada Jemaah Menteri pada 8 Mac ini.

“Kalau semua diterima, maka pembentangan akan mengikut jadual,” katanya. -Free Malaysia Today

Related Articles