Polis narkotik peras RM35,000 dilepas dengan jaminan

SHAH ALAM: Dua anggota polis yang ditahan pada Jumaat bagi membantu siasatan kes pemerasan membabitkan sejumlah RM35,000 dilepaskan dengan jaminan polis hari ini.

Reman kedua-dua anggota polis berusia 29 dan 37 tahun daripada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Seri Alam itu tidak disambung sementara polis melengkapkan siasatan, kata Ketua Polis Johor M Kumar.

“Kertas siasatan akan dirujuk kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya selepas siasatan dilengkapkan,” katanya, lapor Bernama.

Dua lagi anggota daripada IPD Seri Alam ditahan semalam sebelum direman dua hari bagi membantu siasatan kes pemerasan tersebut.

Dilaporkan pada Rabu lepas, seorang inspektor bersama tujuh anggota polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Seri Alam telah direman berhubung kes pemerasan sama.

Mereka ditahan susulan laporan diterima polis pada 5 Februari.

Kumar hari ini berkata, kelapan-lapan mereka bagaimanapun telah dibebaskan pada Jumaat dengan jaminan polis.

Siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan.

Related Articles