PETALING JAYA: Ketua Polis Kuala Lumpur, Allaudeen Abdul Majid mengakui kira-kira 2% hingga 3% daripada 10,000 anggotanya mengalami masalah berat badan.
Justeru, beliau meminta mereka menjaga tahap kesihatan, khasnya memastikan berat badan sentiasa dalam julat jisim indeks tubuh (BMI) ditetapkan.
“Tugas polis ini mencabar dan antara cara untuk menghadapi tekanan dan cabaran adalah dengan kesihatan badan yang baik, ‘fit’ dan cergas.
“Saya harapkan mereka bebas penyakit dan pada masa sama nampak segak bila berpakaian seragam,” katanya menurut Harian Metro selepas Perhimpunan Bulanan IPK Kuala Lumpur hari ini.
Buat masa ini, beliau berkata, tiada garis masa ditetapkan untuk anggota dan pegawainya, tetapi mereka mengambil pendekatan “secepat mungkin”.
Mengenai lawatan mengejut ketua polis negara ke beberapa IPD, Allaudeen berkata, semua ketua jabatan dan ketua polis daerah diarahkan mengambil pendekatan turun padang memantau anggota di lapangan, termasuk beliau sendiri.
“Ia selaras arahan ‘close monitoring’ bagi memastikan tiada penyelewengan dan segala tugasan dilaksanakan dengan baik.” Harian Metro