Polis Kelantan jumpa dadah RM1.24j dalam beg, plastik

Rampasan berkenaan disorokkan dalam satu beg kain jean serta plastik kuning bersama sejumlah 62,000 pil kuda.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Dr Ab Rahman Ismail berkata serbuan dijalankan sepasukan anggota dan pegawai dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Tumpat pada jam 4.20 petang.

Katanya rampasan itu dijumpai di dua lokasi dalam sebuah kereta jenis Proton Wira di kawasan sebuah rumah di Kampung Pasir Pekan Hilir dan Pasir Pekan, Wakaf Bharu, Tumpat dekat Kota Bharu.

Jelasnya, serbuan pertama menjumpai 6,000 pil kuda bernilai RM120,000 dalam beg kain dalam kereta dan kemudian 56,000 pil kuda bernilai RM1.12 juta pula dijumpai dalam sembilan bungkusan plastik kuning.

“Ketika serbuan di lokasi sama, suspek keluar dari kereta dalam keadaan mencurigakan, namun berjaya ditahan selepas berlaku pergelutan. Hasil pemeriksaan menjumpai dadah pertama.

“Lelaki yang tidak mempunyai pekerjaan itu kemudian membawa pasukan polis ke sebuah rumah di Kampung Pasir Pekan yang terletak lapan kilometer dari jarak rumah pertama serta menemui dadah kedua,” katanya pada sidang media, di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan di Kota Bharu pada Ahad..

Suspek mempunyai satu rekod lampau berhubung kes rogol mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan.

Related Articles