Polis cadang tiada ikat jamin kes libat dadah

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Perak, Asisten Komisioner V R Ravi Chandran, berkata pihaknya mencadangkan Seksyen 41 (B) Akta Dadah Berbahaya 1952 dilaksanakan bagi mencegah suspek dan tertuduh kes dadah daripada melakukan jenayah sama selepas beberapa kali ditahan.

Katanya, pelaksanaan cadangan itu bukan saja berupaya mengatasi masalah pesalah dadah daripada mengulangi jenayah itu tetapi juga mengatasi kebimbangan masyarakat terhadap masalah dadah setempat.

“Kebanyakan tertuduh tidak serik dan kembali mengedar dadah selepas wang jaminan dibayar sementara menunggu perbicaraan.

“Masyarakat bimbang apabila ‘tokan’ kecil-kecilan ini berani mengedar dadah terutama di kawasan perumahan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, hari ini.

Ravi Chandran berkata, cadangan itu diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara pada Disember lalu sebelum Polis Perak diminta mengemukakan cadangan kepada Unit Pendakwaan negeri terlebih dulu. –BH Online

Related Articles