Polis buru wanita, suami dipercayai dera adik lelaki

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Jokhiri Abdul Aziz berkata, usaha sedang giat dilakukan bagi mengesan kedua-dua mereka yang berumur lingkungan 30-an dan didapati melarikan diri serta tidak pulang ke rumah selepas kes penderaan terhadap remaja berumur 14 tahun itu terbongkar.

“Kejadian itu disedari kira-kira pukul 9.30 malam, Rabu lepas, selepas seorang wanita yang merupakan penduduk setempat terlihat mangsa dalam keadaan tidak bermaya di sebuah surau di kawasan Kampung Desa Mewah, Sungai Penderam, Seri Alam, di sini,” katanya menerusi kenyataan di Johor Bahru pada Ahad.

Jokhiri berkata, mangsa didapati melarikan diri dari rumah kerana tidak tahan didera pasangan tersebut dan didapati terdapat kesan melecur disebabkan air panas, parut-parut luka dan lebam di bahagian badannya.

Beliau berkata mangsa turut mengadu telah lama didera oleh kakaknya yang merupakan suri rumah dan abang iparnya yang merupakan nelayan itu selain dibiarkan tanpa sebarang rawatan. – Bernama

Related Articles