IPOH: Polis mengambil keterangan pemandu kenderaan rasmi menteri yang mengekori rapat ambulans dalam kecemasan di Lebuh Raya Utara-Selatan (Plus), antara Simpang Pulai menghala ke Tapah, pada 3 Februari lalu.
Insiden berlaku ketika kemalangan itu tular di media sosial dan menjadi perhatian orang ramai.
Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri, berkata satu laporan dibuat bagi menyiasat kejadian itu pada hari sama.
“Siasatan awal mendapati pemandu terbabit memang bekerja dengan seorang menteri dan bersama menteri yang dalam perjalanan ke satu program kebajikan di Rumah Pangsa Jalan Silang, Ipoh.
“Namun, difahamkan menteri terbabit tidak sempat menghadiri program itu kerana kesesakan yang berlaku dan kita telah ambil keterangan daripada pemandu terbabit hari ini,” katanya dalam kenyataan.
Yusri berkata, pihaknya juga memanggil saksi awam lain bagi membantu siasatan termasuk mendapatkan rakaman kamera litar tertutup pihak Plus dan rakaman papan pemuka ambulans bagi melengkapkan siasatan.
Menurutnya, kes disiasat bawah Peraturan 9 (2), Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959.
Terdahulu Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook berkata beliau akan mengeluarkan kenyataan berhubung insiden tersebut.
Dalam kemalangan membabitkan tujuh kenderaan termasuk tiga treler di laluan Plus antara Gopeng-Simpang Pulai di Kilometer 288.1 pada 3 Feb lalu, aliran trafik kenderaan dilaporkan sesak lebih lapan jam malah langsung terhenti hampir enam jam. -Bernama