Kali ini pembangkang telah mewujudkan semula corak baharu strategi kerjasama, menerusi satu gabungan besar kem pembangkang untuk menyerang BN, merealisasikan semula matlamat perubahan rejim. Meskipun kekurangan PAS dalam gabungan besar ini, namun dengan adanya PPBM pimpinan bekas pemimpin kanan UMNO, momentum kem pembangkang yang baharu ini tidak kurang hebatnya dengan PR.
Walaupun pakatan besar ini menegaskan akan memberi penekanan kepada lambang dan manifesto pilihan raya yang sama, tetapi masih tidak nampak atau penerangan jelas kepada asas dan dasar kerjasama. Pada permukaannya, pakatan ini kelihatan majmuk, namun dalam berdepan dengan trend dasar negara yang jelas ke arah perkauman, adakah mereka mempunyai hala tuju yang menyeluruh agar pengundi jelas dengan agenda perjuangan? Lebih-lebih lagi dalam kebangkitan Islam hari ini, adakah kem pembangkang yang baharu akan membawa kita untuk mempertahankan Malaysia sebagai negara sekular atau akan muncul lebih banyak lagi isu kontroversi yang menghuru-harakan lagi keadaan.
Dulu, dalam PR mengendalikan isu hudud PAS telah berlaku banyak kontroversi, sehingga pengundi begitu yakin bahawa PAS telah melepaskan negara Islam untuk melaksanakan negara berkebajikan. Ini juga adalah pandangan kaum Cina pada PRU 505 iaitu ‘tidak perlu takut dengan hudud jika tidak mencuri atau merompak’, sehinggakan mereka tidak teragak-agak langsung untuk menyokong PR. Jika pada masa itu pengundi Cina tahu bahawa hudud bukan setakat hujah ‘tidak merompak dan tidak mencuri’, nescaya hala tuju undi pasti ada perbezaan.
Bagaimanapun selepas DAP memutuskan hubungan kerjasama dengan PAS, jelas sekali PPBM dan PKR masih tidak melepaskan peluang untuk mencari jalan bagi mendapatkan kerjasama dengan PAS. Jika PAS mengangguk setuju untuk menyertai pakatan besar pembangkang ini, maka DAP pasti akan serba salah dan malu. Namun bagi memastikan impak yang besar kepada keadaan keseluruhan, nescaya DAP tidak akan menghalang dan memilih untuk meneruskan gabungan besar lima parti.
Pendirian terakhir PAS adalah sangat penting, sudah tentu kekuatan PAS tidak mencukupi untuk menumbangkan kem pembangkang namun jika parti itu tidak memilih untuk bersama-sama dengan kem pembangkang dan juga tidak bekerjsama dengan UMNO, PAS sebagai ‘kuasa ketiga’ akan memainkan peranan sebagai ‘pengacau’ dan akan pasti memusnahkan strategi ‘satu lawan satu’ menentang BN.
Walau bagaimanapun, orang bukan Islam terutamanya pengundi Cina perlu lebih memberi perhatian di mana sekiranya PAS menerima kerjasama, adakah ini bermakna akhirnya kem pembangkang sudah menerima hudud PAS? – Kwong Wah Yit Poh