Menurut Anwar, pembentangan Belanjawan Selangor adalah satu pembentangan yang baik kerana dilihat mampu menguruskan ekonomi negeri dengan baik.
Beliau berkata demikian ekoran pengumuman baru-baru ini melibatkan kenaikan harga minyak masak dan juga petrol yang disifatkan Anwar sebagai membebankan rakyat.
“Perdana Menteri perlu menelusuri Belanjawan Selangor yang mampu mengurus ekonomi secara berhemat, menghargai khidmat penjawat awam dan meneruskan program kepedulian rakyat dalam bidang perumahan, pendidikan dan kesihatan.
“Selang dua minggu setelah Bajet 2017 dibentangkan oleh Menteri Kewangan, harga minyak mentah dan minyak masak dinaikkan dengan kadar melampau tinggi. Bajet tidak telus dan menyembunyi muslihat kenaikan harga yang membebankan rakyat.
“Minyak masak adalah hasil keluaran negara. Mengapa tiada usaha menghubungi pengeluar besar dalam negara untuk memastikan sejumlah kecil pengeluaran diperuntukkan untuk pengguna dalam negara dengan harga terkawal?,” katanya melalui satu kenyataan pada Khamis.
Dalam perkembangan yang sama, Anwar turut mengingatkan Najib agar tidak terlalu bergantung kepada negara China untuk perkembangan ekonomi negara.
Beliau melihat, Malaysia berada dalam keadaan yang amat terdesak sehingga menyerahkan terlalu banyak kepentingan ekonomi kepada negara tembok besar itu.
“Kita bersetuju dan alukan kesediaan China melabur dan terlibat dalam kegiatan ekonomi negara. Tetapi ketergantungan ekonomi Malaysia kepada mana-mana satu negara tidak wajar dan akan menjejaskan kepentingan kebebasan negara dan strategi geo-politik dasar luar negara,” tambahnya.