Gangguan LRT: Najib arah 15 pencawang tenaga dinaiktaraf segera

Kata Najib, beliau telah mengadakan perbincangan dengan Ketua Pegawai Eksekutif Prasarana dan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) mengenai perkara itu dan mengarahkan Prasarana dan SPAD menyiarkan butiran dan hasil siasatan tersebut sebaik sahaja siasatan selesai.

“Penaiktarafan ini akan memastikan sistem elektrik dapat dipanjangkan jangka hayatnya, menampung keperluan semasa yang kian meningkat dan mengambil kira keperluan masa hadapan.

“Langkah ini dijangka akan mengambil masa di antara 3 hingga 6 bulan untuk diselesaikan sepenuhnya,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Najib, SPAD juga telah menekankan keperluan untuk Prasarana melaksanakan penilaian terperinci keseluruhan sistem yang ada, memandangkan LRT Kelana Jaya sudah pun beroperasi selama hampir 20 tahun.

Jelasnya, penilaian tersebut akan mengenalpasti risiko yang ada serta langkah-langkah yang perlu diambil bagi mengatasi risiko tersebut, selain menyediakan perancangan untuk sistem gantian bagi sistem-sistem kritikal yang semakin hampir kepada penghujung jangka hayat penggunaannya.

“Saya telah mengarahkan supaya Penilai Teknikal Bebas dilantik oleh Prasarana untuk menjalankan penilaian ini dengan kerjasama SPAD bagi memastikan pematuhan semua syarat dan peraturan yang sedia ada.

“Saya juga telah mengarahkan Prasarana untuk menjalankan penilaian semula keseluruhan operasi mereka bagi memperkukuhkan piawaian prosedur operasi (SOP) yang sedia ada bagi memastikan kapasiti yang mencukupi bagi menampung permintaan yang semakin meningkat.

“Prasarana juga akan memperkenalkan secara berperingkat gerabak-gerabak keretapi yang baru pada laluan Kelana Jaya menjelang November 2016,” katanya.

Pada 9 September lalu, perkhidmatan tren Rapid KL LRT, laluan Kelana Jaya tergendala selama hampir sejam berikutan gangguan teknikal di Stesen Jelatek ke Stesen Damai.

Gangguan perkhidmatan yang berlaku menyebabkan penumpang yang kebanyakannya dalam perjalanan ke tempat kerja terkandas dan terpaksa berjalan kaki di atas trek LRT memandangkan tren tidak berfungsi.

Gangguan tersebut merupakan kali kedua dalam tempoh seminggu apabila sehari sebelum itu perkhidmatan LRT di antara Stesen Ampang Park dan Stesen Dang Wangi turut mengalami gangguan menyebabkan laluan antara beberapa stesen di pusat bandar raya dihentikan untuk memulihkan keadaan.

Related Articles