Timbalan Pengerusinya, Zuraida Kamaruddin berkata, ketetapan itu dibuat sebulat suara oleh Majlis Pimpinan PKR Selangor yang mengadakan mesyuarat bulanan pada malam tadi.
“PKR Selangor sekali lagi menegaskan tidak akan mengkhianati mandat yang di beri oleh rakyat Selangor pada pilihanraya 13 yang lalu.
“Dengan itu PKR Selangor menolak segala usaha untuk mengadakan pilihanraya mendadak (snap polls) oleh mana mana parti,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kit Siang mencadangkan diadakan PRN Selangor lebih awal kerana mendakwa cadangan persempadanan semula oleh SPR telah ‘mengubah’ peta negeri itu dengan tujuan membolehkan UMNO kembali berkuasa.
Bagaimanapun, Azmin kemudiannya membantah cadangan tersebut dan menegaskan kerajaan negeri tidak boleh mengkhianat mandat yang diberikan oleh rakyat pada pilihan raya umum lalu.
Menurut Zuraida, PKR Selangor akan terus memperkukuhkan usaha pembantahan terhadap cadangan persempadanan semula kawasan Pilihanraya oleh SPR.
“PKR Selangor juga akan menggunakan segala ruang dari peringkat kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan dan pengundi kawasan untuk mengumpulkan bantahan termasuk mengambil tindakan mahkamah terhadap SPR,” katanya.
Ketua DAP Selangor, Tony Pua menyifatkan tindakan pihak yang menolak cadangan untuk mengadakan PRN Selangor lebih awal adalah bodoh kerana membiarkan persempadanan semula kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) itu dilaksanakan.
“Jika kamu buat tinjauan rambang, ramai akan menyatakan perkara yang sama.
“Adalah bodoh jika kamu berkata kita harus mengadakan pilihan raya selepas persempadanan semula selesai,” tegas Pua.