Ketika ditemu bual oleh China Press, Tian Chua menegaskan, PKR tidak pernah membangkitkan hasrat tersebut kepada DAP Pulau Pinang.
Kelmarin, Guan Eng mengumumkan DAP Pulau Pinang membatalkan hasrat untuk mengadakan PRN lebih awal kerana gagal mencapai persetujuan dengan PKR.
Guan Eng turut mendakwa, PKR menuntut satu hingga dua kerusi yang dimiliki DAP untuk diserahkan kepada PKR sekiranya PRN diadakan lebih awal.
Tian Chua bagaimana pun mengucapkan terima kasih kepada Guan Eng kerana sedia menerima pandangan daripada PKR dan membuktikan kedua-dua parti ini adalah rakan setia dalam Pakatan Harapan.
Sementara itu, Presiden Gerakan, Teng Chang Yeow anggap Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng sebenarnya tidak mempunyai kuasa mutlak dalam pentadbiran kerajaan negeri kerana perlu menunggu permintaan daripada parti lain sebelum membuat keputusan membubarkan Dun.
“DAP mempunyai 19 kerusi Dun di Pulau Pinang manakala PKR hanya ada 10 kerusi sahaja. Biarpun DAP mempunyai kelebihan sembilan kerusi berbanding PKR, tetapi DAP tidak dapat membuat keputusan sendiri dan perlu bergantung kepada parti lain untuk buat keputusan muktamad,” katanya.
Chang Yeow sendiri mengakui beliau pernah diperlekehkan oleh orang lain kerana tidak ada kuasa memandangkan Gerakan pada ketika itu hanya mempunyai tujuh kerusi Dun sahaja.
“Berbanding dengan Gerakan, DAP kini mempunyai 19 kerusi Dun. Kenapa mereka masih tidak berhak membuat keputusan sendiri sebaliknya terpaksa bergantung kepada PKR?,” soalnya.
Sebelum ini, Chang Yeow telah memendekkan cutinya selamanya enam bulan untuk kembali aktif dalam arena politik Pulau Pinang setelah Guan Eng dilaporkan akan membubarkan Dun dan mengadakan PRN lebih awal.
Dalam pada itu, Ketua Pemuda Gerakan, Tan Keng Liang pula menganggap keputusan Guan Eng membatalkan PRN lebih awal adalah tepat dan meminta Ketua Menteri Pulau Pinang itu berehat sementara waktu untuk menyelesaikan kes mahkamahnya. – Sinar Harian