PKR minta Ku Nan isytihar jumlah projek tender terbuka

Pengarah Komunikasinya, Fahmi Fadzil berkata, maklumat berkenaan perlu bagi memastikan kenyataan Tengku Adnan sebelum ini yang mengatakan bahawa tender terbuka boleh memberikan masalah kepada projek-projek yang dijalankan di bawah pelaksanaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

“Maka saya menjemput Tengku Adnan untuk mengisytiharkan jumlah projek yang diberikan secara tender terbuka dan rundingan terus yang melibatkan ‘DBKL Official 1’ (pegawai kanan DBKL bergelar “Dato’ Seri” yang ditangkap SPRM minggu lalu).

“Dan daripada jumlah projek-projek ini, berapa peratus yang memberi masalah atau tidak disiapkan pada jangka masa yang ditetapkan?

“Maklumat yang saya minta diisytiharkan ini boleh dianggap sebagai gambaran atau sampel yang boleh menguji sama ada hujah-hujah beliau boleh diterimapakai ataupun tidak,” katanya melalui satu kenyataan yang diedarkan hari ini.

Semalam, menteri berkenaan yang lebih mesra dipanggil Ku Nan mengeluarkan satu kenyataan yang dilihat bercanggah dengan prinsip kerajaan.

Ku Nan berkata bahawa pemberian projek secara tender terbuka memberikan masalah yang mana ia melibatkan kelewatan projek disiapkan meskipun ditawarkan dengan harga yang rendah.

Susulan daripada itu, PKR meminta Ahli Parlimen Putrajaya berkenaan melampirkan bukti terhadap kenyataannya itu bagi membuktikan wujudnya kewajaran untuk mengubah dasar kerajaan.

“Dan jika Tengku Adnan berpendapat tender terbuka mendatangkan masalah, adakah beliau mempunyai data dan bukti yang cukup untuk mengubah dasar penting kerajaan? Ini kerana selain ketelusan dan urustadbir kerajaan yang baik, penggubalan dasar berteraskan data dan bukti (data-driven and evidence-based policymaking) adalah salah satu asas pentadbiran kerajaan yang mapan,” tambah Fahmi lagi.

Related Articles