PKR gesa polis siasat ugutan bunuh kepimpinan Bersih

Dr Wan Azizah berkata, tindakan sama perlu dilakukan pasukan keselamatan dan agensi kerajaan itu seperti mana mereka menahan “Ratu Naga” kerana didakwa menghina Perdana Menteri Najib Razak dan isterinya, Rosmah Mansor.

“Perbuatan ini adalah satu bentuk ugutan jenayah yang wajib dikutuk oleh semua pihak tidak kira sama ada mereka bersetuju ataupun tidak dengan usaha Bersih 2.0.

“Sekiranya pihak PDRM dan SKMM boleh mengesan dan menangkap individu seperti ‘Ratu Naga’ yang didakwa memuat naik gambar yang menghina Perdana Menteri dan isteri, saya percaya tidak menjadi masalah langsung untuk PDRM dan SKMM segera mengesan dan menangkap individu atau pihak disebalik sebaran gambar ugutan bunuh terhadap pemimpin Bersih 2.0 ini,” kata Dr Wan Azizah, dalam satu kenyataan hari ini.

Pengerusi Bersih 2.0, Maria Chin Abdullah bersama tiga anak lelakinya, ahli jawatankuasa Bersih 2.0, Mandeep Singh, dan mantan Pengerusi Brsama Bersih 2.0 S Ambiga menerima ugutan bunuh melalui aplikasi khidmat pesanan WhatsApp ala militan IS semalam.

Mesej yang mereka terima adalah berbentuk gambar pemenggalan kepala oleh IS, di mana muka mangsa tahanan militan IS telah diubahsuai dengan muka Maria, Mandeep, dan Ambiga dengan berpakaian T-shirt kuning Bersih 5.

“Pada masa yang sama, saya menggesa PDRM serta SKMM segera melakukan siasatan, mengesan dan membawa ke muka pengadilan mereka yang telah melakukan ugutan jenayah ini, yang boleh disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksima dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

“Saya menggesa dan mengajak rakyat Malaysia agar bersama mengecam dan menolak budaya politik berunsur jenayah seperti ini, dan mendoakan agar Maria sekeluarga serta Mandeep dan Ambiga terus tabah,” kata Dr Wan Azizah.

Dalam pada itu, Pengarah Komunikasi PKR, fahmi Fadzil berkata tujuan ugutan ini dibuat bagi memainkan sentimen perkauman dan agama.

“Ugutan ini sebenarnya bukan sahaja ditujukan kepada Maria. Ia bertujuan memainkan sentimen perkauman dan agama. Mereka hendak cuba melemahkan dan menakut-nakutkan pergerakan rakyat Bersih,” kata Fahmi, dalam kenyataannya.

“Mohon rakan-rakan tidak patah semangat, terus satukan tenaga, dan meneruskan perjuangan kami untuk reformasi institusi dan sistem politik Malaysia,” tambah beliau lagi.

Related Articles