PKR buka pintu rundingan buat PAS

by SM Amin

Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, berkata beliau menyambut baik cadangan Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang mahukan pembangkang menghentikan telagah sesama sendiri.

“Saya bersetuju dengan kenyataan Tuan Ibrahim bahawa kita harus fokus dan menyatukan banyak persamaan di kalangan parti-parti pembangkang berbanding ketaksuban terhadap perbezaan yang muncul.

“Kenyataan ini mencerminkan ketokohan Timbalan Presiden PAS sebagai seorang pemimpin politik yang matang dan berpengalaman serta memiliki visi yang jauh dengan meletakkan kepentingan negara dan rakyat melebihi kepentingan kepartian.

“Pendirian baharu yang dikemukakan oleh PAS memberikan harapan kepada rakyat Malaysia yang mahukan perubahan dalam negara yang tidak mungkin dicapai tanpa perpaduan yang utuh dikalangan semua parti pembangkang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sebelum ini Tuan Ibrahim mahukan gencatan senjata dihentikan antara parti pembangkang lain serta PAS bagi memberi tumpuan kepada usaha menumbangkan Barisan Nasional (BN).

Timbalan Presiden PAS itu mahukan parti pembangkang berkompromi sesama mereka dan mencari titik persamaan demi kepentingan politik.

Mohamed Azmin berkata, sejarah membuktikan bahawa melalui perpaduan yang utuh dan berpegang kepada dasar bersama dalam kalangan parti pembangkang, pakatan itu berjaya menafikan majoriti dua pertiga BN di Parlimen dua kali berturut-turut dan memperolehi majoriti undi popular dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13).

Sebaliknya beliau berkata, perpecahan sesama pembangkang hanya akan menguntungkan UMNO-BN sebagaimana yang terbukti dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak dan Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Besar dan Kuala Kangsar baru-baru ini.

“Kita harus insaf bahawa perjuangan kita yang sebenar adalah untuk menyelamatkan Malaysia dan musuh kita yang sebenar adalah UMNO-BN.

“PKR tuntas dalam membawa politik nilai secara inklusif dan mengekalkan perpaduan di kalangan parti pembangkang melalui Barisan Alternatif, pakatan termasuk tahaluf siyasi bersama PAS,” katanya.

Related Articles