KUALA LUMPUR: Khabar angin kononnya Kompleks Perbadanan Kerajaan Negeri Selangor (PKNS) di Shah Alam akan ditutup adalah satu dakwaan yang tidak berasas.
Jurucakap PKNS berkata, tidak ada sebarang cadangan untuk merobohkan bangunan yang sudah memasuki usia empat dekad itu.
Menurut beliau, kompleks berkenaan sebaliknya akan dinaik taraf sebagai memenuhi komitmen PKNS dalam menyumbang kepada pembangunan bandar yang mampan, serta peningkatan taraf sosioekonomi negeri Selangor secara keseluruhan.
“Kompleks PKNS yang berusia 47 tahun itu merupakan salah satu mercu tanda di Shah Alam dan memainkan peranan yang penting dalam menyediakan perkhidmatan perniagaan dan kemudahan kepada penduduk sekitar.
“PKNS menafikan dakwaan yang tular di media sosial dan laporan di akhbar mengenai cadangan merobohkan Kompleks PKNS Shah Alam yang telah berusia lebih empat dekad itu,” katanya.
Tegas beliau, PKNS amat kesal dengan dakwaan tersebut yang jelas tidak benar.
“Satu laporan polis akan dibuat dan perkara itu juga akan dipanjangkan kepada Suruhanjaya Komunikasi Dan Multimedia Malaysia (MCMC).
“Penubuhan PKNS sebagai agensi pembangunan negeri bertujuan untuk meningkatkan pertumbuhan sosioekonomi yang berpandukan dasar kerajaan demi mewujudkan kestabilan dan keharmonian di negeri Selangor,” katanya.
Jelas jurucakap itu, aspirasi berkenaan dapat dicapai melalui pembangunan pusat pertumbuhan baharu, penerokaan kawasan kediaman yang mampan, pembangunan pusat industri dan perniagaan serta pelbagai aktiviti pelaburan.
Tambahnya, perancangan projek di dalam kawasan pembangunan milik PKNS di pusat bandar Seksyen 14 itu adalah sebahagian daripada usaha peremajaan bandar di Shah Alam yang dijangka bermula pada suku ketiga tahun ini.
“Projek yang menelan belanja kira-kira RM2 bilion itu akan melibatkan beberapa plot kawasan di pusat bandar Seksyen 14 termasuk SACC Mall dan Pusat Konvensyen SACC.
“Dari peringkat awal projek ia sama sekali tidak melibatkan bangunan Kompleks PKNS,” katanya.
Projek peremajaan ini katanya lagi, seiring dengan usaha PKNS dalam membantu menjadikan Shah Alam sebagai bandar raya sifar karbon.
“Ini kerana bangunan yang dinaik taraf akan menggunakan sistem ‘centralised chill water’ selain sistem tenaga hijau.
“Sepanjang proses menaik taraf ini, operasi perniagaan di Kompleks PKNS akan berlangsung seperti biasa dan pengunjung akan bebas membeli barang keperluan mereka,” katanya.
Dakwaan kononnya Kompleks PKNS dan SACC Mall bakal dirobohkan berlegar di media sosial sejak beberapa hari lalu.
Kesemua premis berkenaan didakwa perlu dirobohkan untuk memberi laluan kepada pembinaan kondominium dan pembangunan perbandaran baharu. – Getaran