Pindaan Akta 355 hanya langkah pertama pelaksanaan hudud – MCA

by SM Amin

Gan menegaskan parti itu konsisten menolak hukum hudud dan mencurigai tujuan pindaan akta berkenaan dilakukan mengikut ‘pintu belakang’.

Jelas Gan, rasa curiga beliau berasas kerana beliau mendakwa pernah membaca laporan dalaman Jawatankuasa Teknikal Syariah oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) , bahawa pindaan ini adalah fasa permulaan sebelum pelaksanaan hudud di seluruh negara.

“Walaupun saya yakin, JAKIM tidak berhasrat melaksanakan hudud tetapi pada Mei 2014, laporan dalaman Jawatankuasa Teknikal Syariah Sivil secara singkatnya mengatakan bahawa terdapat dua cadangan sebelum melaksanakan hudud berfasa seluruh negara.

“Dengan antara lain sebelum pelaksanaan itu adalah melaksanakan pindaan Akta 355, macam mana kita tidak risau,” katanya ketika menjadi ahli panel Wacana Sinar ‘Pindaan Akta 355: Antara Realiti dan Persepsi’ di Karangkraf di sini.

Bagaimanapun, Ketua Pengarah JAKIM, Othman Mustapha yang turut hadir dalam wacana tersebut ketika ditemui pemberita menafikan dakwaan tersebut.

“Bukan kertas laporan JAKIM, saya tidak tahu laporan apa yang dia (Gan) dapat. Kalau daripada JAKIM ada nama saya,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi ahli panel wacana, Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat DAP, Dr Tan Seng Giaw meluahkan rasa kecewa apabila terdapat ahli politik yang menggunakan isu agama sehingga menimbulkan ketakutan di kalangan rakyat berbilang kaum di negara ini.

“Kita mesti pandang ke seluruh negara apakah perasaan bukan Islam kerana kita ada latar belakang sejak kemerdekaan kita lagi. Ada ahli-ahli politik daripada parti-parti politik kerana mahu menonjolkan diri gunakan isu agama dan perkauman dengan hingga timbul hal.

“Tambah pula media sosial, sebelum kita bahaskan perkara ini disebar luas di seluruh negara, tiap ahli bukan Melayu takut dan sensitif terutama apabila ia dibentangkan oleh pihak PAS kerana di Kelantan dan Terengganu ada enakmen hudud,” katanya.

Related Articles