Memetik laporan Utusan Malaysia, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, Malaysia yakin semua syarat yang ditetapkan Washington bagi menyertai program tersebut mampu dipenuhi menjelang akhir tahun ini.
“Kita tidak nampak ada masalah kerana polisi kekal, walaupun ada pertukaran kepimpinan,” katanya ketika ditanya pemberita pada sidang akhbar selepas mengadakan pertemuan dua hala dengan Timbalan Perdana Menteri 2, Republik Serbia, Ivica Dacic.
Ahmad Zahid yang dalam lawatan kerja lima hari ke Amerika Syarikat bagaimanapun memberitahu, perkara tersebut bukan sebahagian agenda lawatan kali ini.
“AS menetapkan tujuh syarat dan kita telah berjaya memenuhi enam syarat. Syarat ketujuh adalah berhubung kadar penolakan yang ditetapkan pada kadar 3 peratus. Kini, kita sudah mencapai kadar penolakan 3.34 peratus,” katanya.