Pihak Pendakwaan Mohon Pasport Isteri Daim Terus Ditahan, Tiada Jaminan Tidak Lari

KUALA LUMPUR: Pihak pendakwaan memohon Mahkamah Tinggi terus menahan pasport Naimah Khalid kerana tiada jaminan dia tidak akan mengelak perbicaraan jika dokumen perjalanan itu dikembalikan secara kekal.

Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shaharuddin Wan Ladin, memberitahu Hakim Ahmad Bache bahawa Naimah boleh memohon pelepasan sementara pasportnya pada bila-bila masa atas alasan munasabah.

Tetapi, katanya, tiada jaminan isteri bekas menteri kewangan, Daim Zainuddin tidak akan melarikan diri.

“Saya tidak berani kata dia tidak akan melarikan diri, tetapi pada masa sama, peguam bela juga tidak boleh menjamin dia tidak akan melarikan diri,” katanya ketika penghujahan lisan.

Terdahulu, peguam M Puravalen yang mewakili Naimah berhujah, Hakim Mahkamah Sesyen, Azura Alwi terkhilaf ketika menyita pasport tertuduh sebagai sebahagian syarat untuk memberikan ikat jamin.

“Tiada alasan dikemukakan timbalan pendakwa raya bagi mewajarkan penyitaan itu, menyebabkan keputusan itu terkhilaf di sisi undang-undang dan tidak wajar dari segi prosedur.”

Beliau berkata, penahanan pasport tertuduh tanpa alasan munasabah melanggar hak Perlembagaannya untuk ke luar negara, seperti termaktub bawah Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan.

Timbalan Pendakwa Raya, Fadhly Zamry, pula berhujah hakim Mahkamah Sesyen tidak terkhilaf dalam keputusannya kerana mengambil kira kesalahan itu tidak boleh diikat jamin apabila menggunakan budi bicaranya.

Budi bicara itu termasuk mempertimbangkan sama ada membenarkan ikat jamin, menetapkan jumlah jaminan dan keperluan untuk syarat tambahan.

“Budi bicara hakim Mahkamah Sesyen perlu dilindungi. Jika tiada kesilapan, penting untuk kita mengekalkan status quo.”

Mahkamah menetapkan 22 Mac ini untuk keputusan.

Januari lalu, Naimah mengaku tidak bersalah atas pertuduhan gagal mematuhi notis pengisytiharan harta oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Dia dituduh gagal mengisytiharkan pemilikan syarikat, beberapa bidang tanah di sini dan Pulau Pinang serta dua kenderaan. Kesalahan itu didakwa dilakukan pada 13 Dis 2023.

Dia dibenarkan diikat jamin RM250,000 dengan seorang penjamin dan diperintah menyerahkan pasportnya kepada mahkamah. -Free Malaysia Today

Related Articles