TAPAH: Pihak berkuasa masih memburu 120 pendatang tanpa izin (PATI) warga Myanmar termasuk etnik Rohingya yang merusuh dan meloloskan diri dari Blok Lelaki Depot Imigresen Sementara Bidor pada Khamis.
Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Datuk Ruslin Jusoh berkata, setakat pagi ini seramai 10 orang daripada 130 tahanan yang lolos, berjaya ditangkap pihak polis bersama agensi keselamatan yang lain.
Menurut beliau tiga daripada tahanan berkenaan ditangkap pada pagi ini di dua lokasi iaitu Masjid Jamek Ar Rahmaniah Batu Melintang dan Kampung Orang Asli Sementa di sini.
“Dua tahanan ditangkap lebih kurang jam 7.00 pagi selepas mereka datang ke masjid untuk meminta air daripada kariah masjid, manakala seorang lagi di perkampungan orang asli.
“Ketiga-tiga tangkapan ini dilakukan dalam radius 12 kilometer (KM) dengan bantuan orang ramai,” katanya pada sidang media di hadapan Depot Imigresen Sementara Bidor, di sini, pada Sabtu.
Mengulas lanjut, Ruslin berkata, fokus pencarian tahanan yang masih bebas akan dilakukan di sekitar penempatan warga asing, rumah dan balai raya kosong serta masjid dan surau dalam radius pencarian.
Ujar beliau, semua tahanan yang dipercayai bergerak secara berkumpulan sudah mula berpecah namun masih berada dalam radius pencarian pihak berkuasa melibatkan polis, JIM, dan lain-lain agensi.
“Mereka juga sudah mula keluar sebab ada keperluan untuk mendapatkan bantuan makanan dan minuman, kita tengok perkembangan ini semakin bagus.
“Fokus risikan kita juga di kawasan yang menjadi penempatan penduduk warga asing di sekitar Tapah kerana kita tidak menolak mereka pergi ke tempat bangsa, keturunan dan kawan-kawan yang mereka kenali untuk meminta bantuan,” katanya.
Ruslin berkata, pihaknya juga menjangkakan pertambahan anggota pasukan keselamatan daripada pelbagai agensi dalam usaha memburu tahanan etnik Rohingya berkenaan ekoran radius pencarian semakin meluas.
“Kita sasarkan sehingga esok boleh mencecah 450 hingga 500 anggota memandangkan saya telah meminta semua pegawai Imigresen seluruh negeri di semenanjung untuk melaporkan diri dalam usaha memburu saki-baki mereka,” katanya. – MalaysiaGazette