GUA MUSANG: Usaha Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Lepan Jaya, di sini mengusahakan penanaman tebu kuning dan tebu merah sejak setahun lalu membuahkan hasil apabila air tebu jualan mereka mendapat permintaan tinggi penduduk setempat.
Ditambah cuaca panas pada Ramadan ketika ini, permintaan terhadap air tebu sangat memberangsangkan, pernah terjual sebanyak 200 bungkus dalam tempoh hanya setengah jam.
Penyelaras projek Agro School SK Lepan Jaya, Ahmad Fakhrurrazi Che Daud, berkata tebu ditanam di sekolah terbabit mula dijual pada Ramadan tahun lalu, bukannya diproses sendiri untuk dijual dalam bentuk air.
“Tahun lalu kita jual tebu di sekitar daerah ini, tapi margin keuntungan kecil. Oleh itu tahun ini, kita jual sendiri air tebu, anggaran keuntungan boleh cecah RM10,000 sepanjang Ramadan ini. Jualan dibuat dua sesi, iaitu jam 1.15 dan 4.15 petang kepada ibu bapa yang ambil anak dari sekolah,” katanya.
Hasil jualan air tebu akan disalurkan ke akaun PIBG sekolah yang kemudian digunakan untuk membantu murid yang kebanyakannya daripada golongan B40.
“Alhamdulillah jualan sangat memberansangkan, purata 200 bungkus terjual sehari. Tebu kita tanam tahun lalu sebanyak 300 rumpun dan memang rancang dijual Ramadan ini. Selain tebu di bawah projek Agro School, ada pelbagai tanaman lain termasuk sayur seperti timun dan terung,” katanya.
Penasihat Agro School SK Lepan Jaya, Mohd Jailani Mat Jusoh, berkata penanaman tebu akan diteruskan di tanah lapang sekitar sekolah.
“Program Agro School ini memberi manafaat kepada 209 murid. Tahun lalu, hasil jualan sebanyak RM 25,000 diperuntukkan kepada semua murid melalui pembelian peralatan, pakaian dan buku sekolah.
“Insya-Allah program ini akan diteruskan dengan pembabitan daripada semua guru, kakitangan sekolah dan ibu bapa. Kami seperti satu keluarga yang akan saling membantu dan bekerjasama dalam setiap program yang dilaksanakan,” katanya. -Berita Harian Online