Johari juga menjelaskan kadar kenaikan harga minyak di negara ini dibuat berdasarkan purata harga pasaran minyak mentah dunia pada bulan sebelumnya dan tidak mengikut harga harian global.
“Diharapkan pada November, jika keadaan pasaran bertambah baik maka kerajaan tidak perlu membuat kenaikan lagi,” katanya kepada media selepas menyampaikan ucapan di Sidang Kemuncak Pasaran Modal Malaysia ke-21 di Kuala Lumpur hari ini.
Harga pasaran untuk petrol dan diesel di negara ini dinaikkan 15sen mulai tengah malam tadi mengikut formula ditetapkan kerajaan selepas langkah rasionalisasi subsidi dilaksanakan sebelum ini.
Kenaikan itu adalah yang tertinggi pernah berlaku pada 2016.
Petrol RON95 kini dijual pada harga RM1.95 manakala RON97 menjadi RM2.30 seliter. Diesel pula dijual pada harga RM2 seliter.
Kadar terendah pada tahun ini berlaku pada Mac lalu iaitu harga jualan adalah RM1.60 seliter untuk RON95, RM1.95 untuk RON97 dan RM1.35 untuk diesel.