Perut tiba-tiba sakit, suri rumah selamat bersalin di restoran

Rupa-rupanya ini tanda dia akan melahirkan.

Kebetulan seorang jururawat sebuah klinik swasta turut berada di situ, terus membantu proses kelahiran.

Nurul Haslina Abdul Halim, 27, berkata, dia berkunjung ke restoran berkenaan bersama suaminya, Mohd Lutfi Hussein, 33, untuk menikmati hidangan nasi lemak selepas membeli barang keperluan bayinya yang bakal lahir.

“Ketika sedang menghadap hidangan, perut saya rasa sakit. Saya sangka ia biasa kerana tidak ada tanda mahu bersalin namun sewaktu bangun untuk membasuh tangan, air ketuban pecah.

“Suami kemudiannya meminta bantuan kakitangan restoran bila saya tidak dapat bergerak.

“Kebetulan seorang jururawat sebuah klinik swasta turut berada di situ dan membantu proses kelahiran,” katanya kepada media ketika ditemui di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di Sungai Petani pada Ahad.

Nurul Haslina berkata, anak keduanya seberat 2.56 kilogram itu selamat dilahirkan kira-kira jam 11.20 malam sebelum dibawa ke HSAH.

“Saya sebenarnya dijangka bersalin pada 28 Okt ini,” katanya yang bercadang menamakan bayinya itu, Nor Dayana.

Pasangan dari Kulim itu yang mendirikan rumahtangga pada 2011, mempunyai seorang lagi anak lelaki, Muhammad Aqhar Mohd Lufti berusia satu tahun.

Sementara itu pengurus restoran makanan segera tersebut, Shahrizal Daud turut menziarahi Nurul Haslina di hospital berkenaan hari ini dan menyampaikan bunga serta hamper. – Bernama

 

Related Articles