KUALA LUMPUR: Peruntukan pembiayaan yang besar oleh kerajaan kepada komuniti usahawan diyakini akan merancakkan lagi pembangunan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di negara ini.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Ewon Benedick, berkata kementerian berkenaan sedia menggalas tanggungjawab besar memastikan sektor PMKS terus berkembang pesat sekali gus berupaya memberi sumbangan besar kepada pembangunan ekonomi negara.
“Saya amat menghargai dukungan besar yang diberikan Perdana Menteri termasuk menyediakan peruntukan pembiayaan dan latihan keusahawanan yang diperlukan oleh komuniti PMKS negara.
“Ini termasuk memberi peranan kepada agensi di bawah kementerian saya iaitu Tekun Nasional menjadi antara peneraju dana pembiayaan kredit mikro Bumiputera sebanyak RM1 bilion yang memberi penekanan kepada golongan wanita, belia dan veteran tentera,” katanya dalam kenyataan malam tadi.
Beliau mengulas pengumuman Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada majlis penutup Kongres Ekonomi Bumiputera 2024 di Putrajaya, semalam, melibatkan peruntukan dana RM1 bilion bagi melahirkan generasi baharu usahawan Bumiputera dalam bidang pertumbuhan tinggi yang akan dikendalikan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC).
Anwar yang juga menteri kewangan dalam ucapannya turut memaklumkan kerajaan akan mengkhususkan dana pembiayaan kredit mikro Bumiputera sehingga RM1 bilion melalui institusi kewangan pembangunan seperti Bank Simpanan Nasional (BSN), Agrobank dan Tekun Nasional.
Dana itu bertujuan menyediakan sokongan kepada pelbagai segmen usahawan Bumiputera termasuk golongan wanita, belia, veteran tentera, penjaja, pekerja gig dan pengusaha trak makanan.
Mengulas lanjut, Ewon berharap ia akan menjadi pemangkin kepada peningkatan penyertaan usahawan wanita, belia dan veteran tentera dalam bidang keusahawanan.
“Saya sentiasa percaya bahawa gerakan keusahawanan dan koperasi serta gerakan pendidikan boleh menjadi benteng kemiskinan iaitu satu lagi isu yang dikupas oleh Perdana Menteri bersempena dengan kongres itu,” katanya. –Bernama