Perlu pilihan raya mengejut elak UMNO kembali di Selangor, kata Kit Siang

Beliau berkata demikian susulan cadangan persempadanan semula oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang didakwa beliau beragenda untuk mengukuhkan kembali kedudukan UMNO.

“Barisan Nasional hanya menang 12 kerusi dewan undangan negeri pada pilihan raya umum 2013 dan berharap untuk menawan semula Selangor setelah gagal dalam pilihan raya ke-12 dan ke-13.

“Ini mahu dilakukan dengan pelanggaran paling mengaibkan serta terang-terangan prinsip demokrasi ‘satu orang, satu undi’ menerusi persempadanan semula kawasan pilihan raya Parlimen dan dewan undangan negeri Selangor,” katanya melalui satu kenyataan pada Isnin.

Sebelum ini, Anggota Majlis Tertinggi Umno, Datuk Razali Ibrahim berkata, dakwaan pembangkang mengenai persempadanan semula oleh SPR yang berat sebelah dan mahu memenangkan Umno dan BN, hanya bertujuan untuk memburukkan parti pemerintah tersebut.

Razali yang juga timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata, niat pihak pembangkang ialah mahu menimbulkan keraguan dan menyemai dalam minda rakyat agar percaya kerajaan sebenarnya menguasai badan bebas itu.

“Saya nak ulang balik, kalau kita boleh kuasai SPR, jangankan risau pada persempadanan semula, kita juga boleh menang pilihan raya,” katanya dengan sinis.

Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Gelang Patah itu berkata, proses persempadanan semula SPR kali ini jelas bertujuan memenuhi beberapa objektif antaranya untuk mengembalikan semula kuasa Umno dalam kerajaan negeri Selangor.

“Pada masa yang sama, SPR menerusi proses persempadanan semula ini akan membantu Umno untuk mendapatkan semula majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat,” tambahnya.

Tambah Kit Siang lagi, proses berkenaan juga bertujuan menamatkan kerjaya politik bekas timbalan perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, bekas menteri besar Perak, Datuk Seri Nizar Jamaluddin dan Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar.

Related Articles