Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin, berkata tindakan mewartakan fatwa yang dikeluarkan pada 2015 itu penting untuk mengelak berlaku salah faham dalam kalangan orang bukan Islam, selain pada masa sama menutup ruang untuk dimanipulasi mana-mana pihak.
“Fatwa mengenai hak hadanah (penjagaan anak) bagi ibu bapa berlainan agama sudah diluluskan serta mendapat perkenan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail, cuma ia belum diwartakan.
“Kita tidak mahu berlaku kekeliruan dan manipulasi ibu atau bapa yang mendaftar anak mereka secara Islam tanpa kerelaan anak terbabit, kerana itu dianggap paksaan, …umum tahu soal paksaan tiada dalam agama,” katanya ketika ditemui pemberita, pada Khamis.
Beliau berkata demikian mengulas kekeliruan yang timbul susulan laporan sebuah akhbar berbahasa Inggeris sebelum ini yang mendakwa kerajaan negeri menentang dasar Kerajaan Pusat berhubung pindaan RUU Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Pindaan) 2016 yang mencetus kebimbangan bukan Islam mengenai soal paksaan untuk memeluk Islam.
Asri berkata, apa yang menjadi persoalan masyarakat bukan Islam dalam soal pindaan RUU Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Pindaan) 2016 itu sebenarnya lebih kepada kebimbangan terhadap paksaan untuk memeluk Islam.
Bagaimanapun beliau berkata, di Perlis bagi pasangan bukan Islam yang salah seorang daripada mereka memeluk Islam, maka hak penjagaan anak tidak dinilai berdasarkan kepada status agama ibu atau bapa.
“Dalam soal ini jika ibunya yang bukan Islam dilihat lebih berkemampuan serta dapat menjamin kemaslahatan anak dari sudut perkembangan moral, emosi dan tumbesaran, maka ibu dianggap lebih layak walaupun bapanya seorang beragama Islam,” katanya.
Beliau dalam masa sama mengakui ibu atau bapa beragama Islam walaupun tidak mendapat hak penjagaan anak, tetap wajib dan berhak memperkenalkan Islam kepada anak mereka.
“Kita akan melihat sama ada wujud atau tidak unsur paksaan kepada anak terbabit, …jika anak itu berusia tiga tahun atau masih tidak memahami apa-apa, mustahil untuk ada kerelaan dalam memeluk Islam.
“Situasi berbeza jika anak terbabit misalnya berusia 16 tahun mahu memeluk Islam, tetapi dilarang ibunya yang bukan Islam dan bapanya yang Islam pula gagal dikesan untuk mendaftarkannya Islam.
“…itu tidak mengapa kerana anak terbabit hanya perlu menunggu usianya menjangkau 18 tahun untuk memeluk Islam tanpa perlu meminta keizinan sesiapa,” katanya memetik BH Online.