Pengurus Besar Perkhidmatan Komuter KTM, Khair Johari Ishak berkata perkhidmatan itu melibatkan 623 perkhidmatan komuter tambahan terus dari laluan Pelabuhan Klang, Rawang, Seremban ke stesen Batu Caves bagi memberi kemudahan pengangkutan kepada orang ramai khususnya penganut agama Hindu serta pelancong ke Batu Caves.
“Waktu operasi tren akan dilanjutkan dengan penyediaan tren tambahan antara pukul 12 tengah malam hingga 5.30 pagi,” katanya pada sidang media di Stesen KTM Komuter Batu Caves di sini Isnin.
Khair Johari berkata KTM turut memberi diskaun sehingga 20 peratus untuk pembelian tiket dewasa bagi perjalanan dua hala ke stesen Batu Caves dalam menggalakkan orang ramai menggunakan perkhidmatan tersebut.
“Dengan perkhidmatan khas kali ini, kami menjangkakan pengguna Komuter bertambah lebih 500,000 penumpang menerusi penambahbaikan perkhidmatan Komuter dan kerjasama integrasi dengan RapidKL,” katanya.
Katanya bagi memastikan kelancaran operasi dan keselamatan penumpang, pihaknya turut menugaskan seramai 500 kakitangan sepanjang tempoh tersebut. -Bernama