Menurut ketua kedua-dua sayap Perkasa itu, Azrul Akmal Sharudin dan Burhanuddin Ruslan, tindakan menahan orang asli yang mempertahankan tanah mereka dari terus diceroboh adalah satu tindakan yang tidak wajar.
“Tindakan pihak berkuasa yang bertindak tanpa berdiplomasi dan “keras” sebegini bolehlah diklasifikasikan sebagai tindakan terdesak dan tidak bermaruah yang semestinya dipengaruhi oleh pihak-pihak berkepentingan yang hanya mahu mengaut keuntungan daripada penjualan balak tanpa memikirkan kesannya ke atas penempatan serta kehidupan harian orang asli di kawasan sekitar,” katanya memetik kenyataan yang diedarkan hari ini.
Dalam perkembangan yang sama, Wira Perkasa turut menyatakan kesediaan untuk menaja peguam bagi tujuan pembelaan orang-orang asli yang ditangkap sekiranya kes berkenaan dibawa ke peringkat mahkamah.
Malah, mereka juga akan bersama-sama orang asli bagi tujuan mempertahankan hak tanah adat milik penduduk di kawasan tersebut.
“Wira Perkasa juga bersedia untuk menyumbangkan peralatan yang cukup termasuklah makanan kepada orang-orang Asli untuk mempertahankan hak mereka dan kita akan pastikan tidak akan ada walau sebiji lori balak sekalipun yang akan berjaya mengeluarkan balak daripada kawasan tersebut.
“Wira Perkasa ingin menegaskan kepada pihak-pihak yang bertanggungjawab, jangan sesekali ganggu gugat hak orang asli dan pribumi!,” kata kenyataan itu lagi.
Semalam, seramai 41 orang asli Temiar Gua Musang ditangkap keran melakukan halangan ‘blockade’ di kampung mereka.
Halangan itu dilakukan ekoran keadaan kampung mereka yang semakin teruk termasuk sumber air yang kotor akibat pembalakan yang berlaku di kawasan hutan berhampiran penempatan mereka.